Sudah 4 hari bumi Pasir Mas dianugerahi dengan hujan mencurah pada waktu petang. Ia menjadi ujian maha hebat buat para peniaga untuk juadah berbuka. Namun seperti yang kawe nyatakan pada entry sebelum ini, suasana di Pasar Ramadan atau di kedai-kedai yang menjual juadah tetap meriah. Dua hari lepas ketika kawe dalam perjalanan balik ke rumah untuk berbuka setelah melawat kawan di Pengkalan Chepa, kawe melewati tempat yang menjual ayam percik tersohor di Kelantan iaitu Yati Ayam Percik, didapati orang ramai telah mengerumuninya. Fuh!
Saat menulis entry ini, media player kawe memutarkan lagu Yang Terbaik Bagimu (Jangan Lupakan Ayah). Ia merupakan lagu Ada Band bersama Gita Gutawa. Gita Gutawa merupakan pelapis terbaik dalam dunia nyanyian di Indonesia. Lagu ini berkisar mengenai impian anak untuk membahagiakan ayahnya. Lirik amat puitis banget! Ini diiringi dengan melodi lagu dan vokal yang indah. Sesungguhnya di tika kawe meniti usia ini, perasaan kasih kepada keluarga terutama buat ayahanda dan bonda semakin mencengkam. Baru-baru ini, bonda ada menyingkap satu kisah setelah melihat kawe begitu asyik membaca dan sanggup berhabis duit untuk membeli bahan bacaan seperti novel. Katanya ketika mengandungkan kawe, dia menyarankan ayahanda supaya rajin membaca. Ayahanda patuh dan senantiasa meluangkan masa dengan membaca. Ada kemungkinan barangkali kenapa kawe begitu mendambakan buku. Huhuhu.....
Imam Muhaimin merupakan cerpen ke 5 yang terdapat dalam Kekasih Sam Po Bo. Kala kawe membacanya membuat kawe teringat kepada novel terhebat Faisal Tehrani iaitu 1515. Ia mengambil sejarah Melaka ditawan Portugis dahulu kala sebagai latar masa. Imam Muhaimin merupakan seorang alim yang masih muda dan setia tinggal di bumi Melaka sedangkan Sultan, para pembesar dan alim ulama telah pun meninggalkan Melaka untuk mendiami kawasan yang lebih semangat. Setiap hari usaha pengembangan agama Kristian giat dilakukan dan akidah orang Melaka semakin goyah kerana cara kekerasan yang dilaksanakan oleh sang Portugis. Utusan Sultan datang menemui Imam Muhaimin setelah mendapat tahu ulama muda itu akan menemui wakil Portugis untuk usaha damai. Orang Melaka yang berada di luar tidak menyenanginya. Mereka tekad akan membuat serangan ke atas Portugis walhal sudah dijelaskan oleh Imam Muhaimin ia akan memburukkan lagi keadaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment