Tuesday, September 18, 2007

Save My Life merupakan lagu yang sedang didengari kawe ketika ini, lagu daripada Xandria. Semalam buat pertama kali dalam bulan Ramadan, bumi Pasir Mas tidak menerima hujan walau setitikpun. Kawe mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan di Pasar Ramadan di Mini Stadium. Jam pada masa itu 5.30 petang dan sang manusia telahpun ramai. Sehingga kawe kadang-kadang sukar untuk meneruskan jalan dan melihat juadah yang terjual. Kawan kawe ‘rekemen’untuk kawe membeli waffle, kawe tergelak sakan kerana tidak pernah mendengar orang makan waffle dalam juadah berbuka. Tetapi ia menarik untuk dicuba dan kawe membelinya. Huhuhu....

Dalam Berita Harian hari ini, pengarah filem prolifik iaitu Kak Yasmin Ahmad merancang untuk memproduksi sebuah filem berkisarkan wanita Kelantan. Setakat ini ada kecenderungan para penggiat filem membuat filem mengenai masyarakat Kelantan. Kawe sungguh teruja dalam hal ini. Selepas filem terbaik Jogho, tidak ada lagi filem yang menayangkan suasana masyarakat Kelantan sama ada di negeri sendiri atau di rantau orang. Afdlin Shauki pernah menyelitkan sedikit babak orang Kelantan yang bercakap ‘english kelate’ dalam karyanya. Tahun lepas ada pembikinan filem yang berkisahkan anak muda Kelantan di Kuala Lumpur yang bertajuk Koya Best. Setakat ini kawe tidak tahu sejauh mana perkembangannya. Selepas itu, bulan lepas di Bachok, Hatta Azad Khan giat mengarahkan Wayang yang mengisahkan kehidupan seorang tok dalang wayang kulit. Untuk karya terbaru Yasmin yang bertajuk Mok Mok, isu yang menjadi tunjang filem itu ialah kisah golongan ibu di Kelantan, yang sememangnya tersohor sebagai peniaga kecil-kecilan. Dalam arahan filem-filem Yasmin, hanya Rabun yang membuatkan kawe terpegun. Buah tangan terakhirnya, Muhsin tidak meninggalkan kesan ketika kawe menontonnya. Hehehe... Ironinya, dalam kerancakan penggiat filem memberi fokus kepada kisah-kisah orang Kelantan, belum terpacak lagi satu panggung wayang di negeri ini setelah terkubur Panggung Lido ketika dahulu. Hmm....

Kawe membaca cerpen Kekasih Sam Po Bo yang dijadikan tajuk buku himpunan cerpen-cerpen Faisal Tehrani. Setelah membacanya baharu kawe faham kenapa ia dijadikan tajuk buku ini. Cerpen ini sungguh menarik dan memperlihatkan ketinggian ilmu yang dimiliki sang pengarang. Sejarah Melaka dan hubungannya dengan kerajaan China dahulu kala, dikarang dengan meletakkan kisah cinta antara perempuan Melaka dan Laksamana dari negara China. Ia diselitkan dengan sejarah perkembangan Islam di China dan Melaka. Sungguh asyik sekali ia dikisahkan.

No comments: