Sudah berkurun lamanya kawe tidak mengasah minda dengan menulis di dalam blog. Dulu dihambat dengan kesibukan belajar dan dihimpit dengan perkara-perkara yang membuaikan sehingga tiada masa untuk memecah kebuntuan di dalam blog.
Namun kini, setelah berjaya mendapatkan apa yang diperjuangkan selama 5 tahun sudah, kawe mula berfikir untuk mempertajamkan buah fikiran kawe dalam blog yang usang ini. Huhuhu... Dan kawe memilih bulan mulia iaitu Ramadan yang dirindui untuk memulakan langkah baru. Saat ini berlatarkan lagu berhantu Ibnor Riza iaitu Mimpi Yang Tak Sudah memberi satu perasaan yang tenang untuk menulis. Dalam playlist, kawe pilihkan lagu-lagu pop melayu zaman 80’an. Ini disebabkan muzik pada zaman itu sungguh indah dan melankolik. Walaupun kawe merupakan pendengar muzik metal yang tegar tetapi kawe tetap menghargai karya-karya muzik yang boleh membangkitkan seribu emosi tatkala mendengarnya. Sudah tentu nasyid turut menjadi santapan halwa telinga kawe. Hehehe...
Sebelum Ramadan tiba, kawe berasa amat gembira sekali kerana dapat berpuasa di kampung bersama keluarga tercinta. Rindu dendam. Itu ungkapan terbaik yang dapat menggambarkan betapa perasaan kawe ketika ini. Selama 5 tahun kawe menikmati puasa di tempat orang. Pelbagai kenangan yang hadir menjadi buku pengalaman berharga kawe. Saat ini merupakan masa terbaik untuk kawe menikmati bulan Ramadan disamping keluarga tercinta dengan lebih bermakna. Dan yang penting dapat terawih dengan sempurna, insya Allah. Huhuhu...
Malam tadi agak susah untuk kawe tidur awal. Ini kerana kawe sudah terbiasa tidur agak lewat. Puas cuba memaksa diri untuk tidur namun ianya sia-sia. Hihihi... Dan kawe larut entah pukul berapa semalam. Sedar-sedar ayahanda datang kejutkan anak bertuah ini untuk bersahur. Huhuhu... Kalau di zaman berkelana mencari ilmu, kawe rela membiarkan diri bertahan sampai tiba waktu makan sebelum imsak menjelang. Menyibukkan diri dengan melayari internet, melayan movie atau berbual-bual kosong dengan teman serumah. Itupun kalau tiada kelas di awal pagi. Hehehe... Oppss.. tadi sahur, bonda memasak gulai ketam. Full stop. Semasa di bumi orang, pecut motosikal bertemankan embun pagi bersama kawan serumah ke kedai makan yang menyediakan makan sahur. Kalau malas nak keluar, layan gardenia pun jalan juga. Huhuhu...
Lepas makan sahur tadi, terus tonton tv untuk tunggu masa berlalu. Kemudian terpaku melihat program Majalah Tiga yang memaparkan episod Cina Kampung Kelantan. Menarik dan kawe memang suka menumpukan perhatian terhadap ilmu visual sebegini. Melihatkan orang cina bertutur dialek kelate membuatkan kawe berasa bangga dengan keadaan ini. Dulu ketika tinggal di negeri orang, kawe mual melihat orang Malaysia tidak boleh bertutur bahasa Melayu/Malaysia dengan lancar. Hehe... Nasib baik member-member sepengajian kawe yang berbangsa selain dari Melayu boleh bertutur dengan baik seperti Chandra, Pau Kee dan lain-lain.
Ketika sembahyang Subuh di masjid tadi, kawe bertemu dengan Pak Ya. Lama sungguh tidak bertemu dan berborak dengannya. Selepas membaca Al-Quran dan mendengar terjemahannya dari Ustaz, kawe pergi mendapatkan Pak Ya, dia beritahu sudah lama dia tidak hadir ke masjid disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Kawe tahu dia baru sahaja balik dari KL menjalani rawatan merawat matanya. Kawe tengok dia agak uzur. Semoga dia cepat sembuh.....
Selepas balik dari masjid tadi, kawe telah mengulangi membaca buku himpunan cerpen nukilan Faisal Tehrani bertajuk Kekasih Sam Po Bo. Ini merupakan buku yang terbaru dibeli oleh kawe. Kawe memang meminati karya dia. Bahasa didalam karyanya diolah dengan cantik. Kawe tidak menghiraukan polemik yang timbul kesan lahirnya karya-karya dia. Kawe lebih mementingkan santai dan memberi rangsangan kepada minda. Ada 30 cerpen terpilih dan kawe akan membaca satu cerpen untuk satu hari di bulan Ramadan, insya Allah.
Sinopsis ringkas cerpen pertama iaitu Irisan-irisan Mimpi mengisahkan seorang anak bernama Satiyah sedang dalam perjalanan mencari cinta sejati arwah ayahnya di Sarawak. Dia dapat menghidu ayahnya mempunyai sang kekasih yang sejati. Mempunyai perasaan kasih yang tinggi terhadap arwah ayah dan ibunya, dia yang kebetulan dipertanggungjawabkan untuk berkhidmat di Sarawak sebagai pendidik telah merungkai rahsia cinta agung setelah dipertemukan dengan seorang wanita tua yang hidup sebatang kara. Lebih mengagumkan dia dan wanita itu mempunyai nama yang sama. Akhirnya segalanya terjawab dengan wanita itu merupaka kekasih hati ayahnya dahulu. Terpisah kerana peristiwa yang menyedihkan. Satiyah turut menemui cintanya di Sarawak telah membawa sama wanita itu untuk tinggal bersamanya. Bersama suami tercinta, Satiyah telah membawa wanita itu pulang ke semenanjung untuk menyambut Aidilfitri dan melawat kubur ayahnya dan kekasih hati wanita itu. Setelah beberapa hari berada di kampung Satiyah, wanita itu menghembuskan nafas terakhir dan dikebumikan di sisi kubur ayahnya atas permintaan Satiyah.
Ada ayat yang indah untuk ditatap terdapat di dalam cerpen ini iaitu;
‘Siapa kata bagi seorang lelaki cinta hanyalah suatu peristiwa? Bagi abah cinta adalah emosi’
Setiap kali membaca cerpen ini, jiwa kawe terkesan dengan jalan ceritanya. Ia melahirkan sebak apabila membaca cerpen sedih ini. Ini membuatkan kawe kagum dengan saudara Faisal Tehrani. Buku ini merupakan koleksi berharga. Nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan buku ini di pasaran. Ianya berbaloi.