Monday, October 29, 2007

Bercuti lagi.... Huhuhu...

Kawe terpaksa bercuti dengan berat hati. Kawe telah dipanggil bertugas di bumi Kajang, Selangor hari khamis ini. Excited ada, gabra pun ada. Huhuhu...

Akhirnya kawe akan bergelar orang gomen. Muahahaha...

Tuesday, October 09, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR BATIN

kawe stop kejap blog ye.. mood raya dah sampai nih... huhuhu...

Friday, October 05, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin. Itulah tajuk novel yang dibeli kelmarin. Karya penulis prolifik masa kini, Faisal Tehrani. Kawe selalu mendambakan karya Faisal dewasa ini. Kelmarin kawe hanya sempat menjenguk Popular Bookstore sahaja kerana kesuntukan masa untuk ke kedai buku yang lain. Ini kerana kawe terpaksa berkejar pulang ke rumah untuk mengambil anak buah di kelas Qiraati selepas Asar. Sepanjang bulan Ramadan ini, sudah menjadi rutin kawe mengambil hero ini pada hari khamis kerana dia lebih suka berbuka puasa dengan Tok Wan dan Ma Tok dia pada hari cuti sekolah. Baru berusia 9 tahun tetapi tabah menjalani ibadah puasa dan setakat ini masih penuh lagi dia puasa. Seingat kawe, ketika umur 9 tahun rasanya kawe dulu tidak cukup puasa sebulan. Hahaha. Kawe puji didikan Kak Long kawe kerana tegas dalam bab agama dengan anak-anaknya. Hero yang berusia 9 tahun ni anak ketiganya dan sudah arif dalam bab asas sembahyang. Itu yang membuatkan kawe kagum. Sesungguhnya didikan agama yang kukuh boleh menyelamatkan akidah dan membentuk akhlak mulia apabila meningkat dewasa kelak. Kawe belum habis membaca novel sejarah yang dibeli kelmarin. Agak menarik kerana penulis membawa pembaca ke zaman Kesultanan Melayu Melaka yang agung pada zaman dahulu. Ia menyentuh tentang riwayat Sultan Alauddin Riayat Syah. Nanti akan kawe ulas sedikit apabila habis membacanya nanti. Diudarakan sebuah lagu klasik dari Journey iaitu Open Arms untuk menyelusuri emosi saat ini.

Thursday, October 04, 2007

Ayahanda sakit lagi. Setelah menjalani rawatan tradisional di Jeram Pasu, Pasir Puteh pagi kelmarin, sakit dalamannya beransur pulih. Malah selepas zuhur kelmarin dia telah memandu kereta bersama bonda dan jiran ke Tanah Merah untuk menziarahi keluarga rakannya yang kematian suaminya sebelum sahur. Sepatutnya kawe yang memandunya tetapi ayahanda menyatakan dia mampu memandu kereta. Pada sebelah pagi kelmarin, kawe lah yang memandu untuk ke Jeram Pasu. Lahir bibit rasa bersalah pula selepas melihat dia sakit balik. Ini kerana kereta telah mengalami bocor tayar ketika dalam perjalanan ke Tanah Merah dan ayahanda dengan menggunakan kudratnya yang belum terdaya itu untuk menukar tayar tersebut. Ini telah menyebabkan dia berasa sakit. Timbul rasa menyesal pula dalam hati kawe. Namun ia tidaklah serius dan kaedah rawatan di Jeram Pasu itu menunjukkan perkembangan positif. Semasa sahur tadi ayahanda tidak menunjukkan tanda sakit seperti biasa tatkala mengangkat tangan untuk mengambil lauk. Tetapi dalam hatinya manalah kita tahu.Menjaga ayahanda yang sakit dalam tempoh seminggu ini memberi pengalaman baru buat kawe. Dulu ayahanda lah selalu menjaga kawe apabila kawe sakit. Ketika mengakhiri entry ini, lagu Barry Manilow, I Cant Smile Without You berkumandang dan ia ternyata serasi dengan entry kali ini. Dan tengahari ini, kawe berhajat mahu menjelajah kedai buku di Kota Bharu untuk mencari bahan bacaan. Hampir sebulan kawe tidak membeli bahan terbaru. Huhuhu...

Wednesday, October 03, 2007

Lama kawe tidak meng’update’ blog. Terlampau busy dengan pelbagai hal. Ditambah dengan ayahanda kemalangan kecil minggu lepas. Kiranya kawe ‘shocked’ pada saat itu. Alhamdulillah keadaan ayahanda bertambah baik dan boleh mengerjakan solat terawih di Masjid. Sepantas masa berlalu, bulan Ramadan semakin melabuhkan tirainya dan kawe pasti merinduinya. Sorry, kali ini entry pendek la pulak.. Ekekeke…

Sunday, September 23, 2007

Hari ini tekak terasa lain, iaitu macam tanda nak demam. Sudah banyak kali kawe terkena hujan ketika pulang ke rumah untuk berbuka. Kawe jarang demam dan kawe amat berharap tidak mendapatnya di bulan Ramadan ini. Sungguhpun demikian, kawe tetap keluar hari ini dan destinasinya ialah Rantau Panjang. Kawe bertolak pada pukul 2.30 bersama kawan-kawan. Di Rantau Panjang, ia tidaklah sesak dengan pembeli-pembeli kerana bukan hari cuti, jadi senang kawe hendak menyelusuri lorong-lorong kedai. Pelbagai karenah penjual dan pembeli dapat kawe saksikan. Dan kawe membawa pulang seluar jeans yang sudah lama kawe inginkan. Huhu..

Cerpen seterusnya ialah Imam Muhaimin Di Kaherah. Faisal nampaknya cenderung menjadikan watak Imam Muhaimin sebagai bijak pandai dari Tanah Melayu yang cintakan agama. Dalam cerpen ini, Imam Muhaimin mengembara ke Kaherah untuk menuntut ilmu agama yang lebih tinggi. Dia mahsyur dengan keberaniannya berhujah terutama apabila mendapati ada manusia yang cuba mengambil kesempatan untuk kesenangan dengan cara yang salah. Imam Muhaimin juga telah berhujah mengenai orang Islam harus membalas apa yang telah dilakukan oleh musuh terutama dalam situasi perang.

Saturday, September 22, 2007

Untuk kali ini, kawe ingin bercerita tentang kegigihan kawan kawe dalam mencari rezeki. Dia selalu merendah diri dengan menyatakan taraf pengajiannya tidak setanding kawan-kawan yang lain. Tetapi kawe senantiasa memberi sokongan moral dan kawe kagum dengan semangat dia. Semangat anak muda yang patut dijadikan contoh. Ibubapanya merupakan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh. Kawe melihat dari situlah dia mendapat ‘pendidikan’ yang berguna untuk menjadi peniaga. Kawe asyik bila melihat dia menolong ibubapanya berniaga barangan runcit disana. Dia sentiasa tersenyum dan bersuara lembut ketika melayan pelanggan. Kawe bersama dia untuk beberapa tahun dan boleh melihat bagaimana kesusahan yang ditanggungnya ketika perniagaan merosot. Dan kini perniagaan ibubapanya bertambah baik sejak berpindah tapak yang lebih strategik. Pada Ramadan kali ini, dia tekad untuk membuka perniagaannya sendiri. Bersama dengan kawan kawe yang lain, dia membuka premis menjual kain tudung dan baju melayu di Pasar Borong Wakaf Che Yeh. Persaingan yang harus ditempuhi dan semoga dia dan kawan saya terus meniti kejayaan. Insya Allah.

Cerpen menarik yang bertepatan dengan sambutan kemerdekaan negara kita ke 50 iaitu Pemberontakan Kedua. Haji Noshi berhadapan dengan konflik tuntutan pembangunan kemajuan yang perlu mengorbankan tanah pusaka. Dia berkeras tidak akan menggadaikannya. Malah dia mengaitkan usaha ini dengan sejarah dahulu di Terengganu iaitu mengenai kebangkitan kaum tani setelah penjajah mengenakan cukai ke atas tanah mereka. Haji Noshi sentiasa membuka cerita sejarah itu untuk menunjukkan semangat cintakan tanah air dan menyemai semangat kemerdekaan. Dia marah dengan pemimpin rakyat yang selalu menyokong usaha pihak lain tanpa memikirkan kelangsungan bangsa sendiri.

Friday, September 21, 2007

Hari ini kawe sungguh sedih. Sudah lah kita berduka dengan tragedi Nurin, semalam kawe mendapat berita suami sepupu kawe meninggal dunia disebabkan kemalangan ketika bertugas. Kemalangan berlaku di Bukit Tinggi, Bentong ketika arwah yang merupakan polis bantuan BSN dalam perjalanan menghantar wang bank BSN ke cawangan bank itu di Raub dan Kuala Lipis. Dua lagi rakan sekerja arwah turut meninggal dunia. Jenazah arwah telah selamat dikebumikan semalam. Al Fatihah....

Cerpen seterusnya ialah Anak yang mengisahkan pasangan yang bekerja sebagai doktor iaitu Ridzuan dan Nadia. Mereka sudah mendirikan rumahtangga hampir 12 tahun tetapi belum menimang cahaya mata lagi. Keadaan ini memberi mereka tekanan dan kemuncaknya akan berlaku pergaduhan. Nadia menyalahkan Ridzuan kerana mandul. Ridzuan menjalani pemeriksaan doktor dan mendapati dia mempunyai masalah sperma tidak sihat. Doktor yang juga kawan baiknya menyarankan dia membuat pembedahan. Namun Ridzuan enggan dan ingin mencuba alternatif lain. Doktor itu memberitahu dengan permanian beradas juga boleh membantu tetapi ia menggunakan sperma orang lain. Ini membuatkan Ridzuan kusut mindanya. Dia mendapatkan pandangan orang yang arif tentang agama berkaitan hal ini.

Thursday, September 20, 2007

Setelah 7 hari berpuasa kelmarin, kawe menoleh ke belakang untuk melihat sejauh mana kawe menghayati bulan mulia ini. Alhamdulillah untuk Ramadan kali ini, kawe telah berpeluang untuk berpuasa bersama keluarga di kampung, kesempatan yang hilang selama 5 tahun. Suasana di kampung memberi seribu keindahan kepada kawe. Kawe juga berpeluang solat sunat terawih 20 rakaat di masjid kampung dengan khusyuk tanpa terpikir untuk hanya menghabiskan 8 rakaat bagi menikmati ‘colek’ yang memenuhi sepanjang jalan Pasir Mas. Huhuhu. Sudah lama kawe tidak menikmati suasana terawih seperti ini selepas memasuki dunia pengajian di luar Kelantan dulu. Dan kawe juga berpeluang menyertai ahli jemaah membaca Al-Quran dan mendengar terjemahannya selepas solat Subuh di Masjid. Syukur Alhamdulillah... Cuma kawe masih gagal melawan perasaan untuk tidur selepas itu. Ini kerana selepas membaca cerpen, kawe akan terus tidur sehingga ke tengahari. Huhuhu. Terasa rugi masa apabila hanya tidur di waktu pagi. Dan kawe tekad untuk melawan keinginan itu. Hari ini kawe berjaya tetapi esok Wallahualam....

Untuk cerpen seterusnya, kawe sungguh asyik membacanya. Cerpen Kucing Gemuk Di Masjid Biru membawa pembaca mengembara ke Turki dan menyelusuri sejarah pahit pejuang Islam ketika zaman Kamal Atatturk. Ia memberi resapan betapa peritnya alim ulama untuk terus berdakwah di bumi Turki yang dicengkam sekularisme. Kucing gemuk yang berada di Masjid Biru telah memberi petunjuk kepada penulis, watak utama dalam cerpen ini untuk menyingkap kisah tokoh Islam di Turki pada zaman Kamal Atatturk. Dan lagu Gantung dari Melly Goeslaw menemani kawe ketika ini.

Wednesday, September 19, 2007

Pejam celik sudah pun 7 hari kita berpuasa. Kawe bersyukur kerana dapat merasai nikmat Ramadan di kampung tercinta bersama keluarga tersayang. Selepas ini kawe yang akan menempuhi alam kerjaya susah untuk menemui saat-saat ini. Kelmarin kawe pergi melawat sahabat kawe yang tinggal seorang diri di Pengkalan Chepa. Dia yang sudah berkahwin hampir 8 tahun terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang berada di Kuala Lumpur. Anak jati Johor ini mempunyai isteri, orang Negeri Sembilan yang bekerja di makmal sekolah di Kuala Lumpur. Kawe memahami kesunyian dia dan sentiasa tidak meminggirkan dia apabila keluar bersama teman-teman lain. Setiap bulan dia akan balik ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali untuk bertemu isteri dan anaknya yang disayangi. Kenapa isterinya tidak bertukar kerja ke Kelantan? Biarlah ia menjadi rahsia. Hehe. Dan kawe merasakan ia bukan kes luar biasa kerana ramai pasangan ‘jarak jauh’ yang hanya bersua pada cuti hari minggu. Kawe pun berkemungkinan di masa hadapan. Huhuhu...

Cerpen seterusnya ialah Syawal Ini Abah Menjadi Manusia Kembali. Kehebatan sains boleh menggugat keimanan seseorang. Kadang-kadang manusia cenderung untuk membuat sesuatu yang melampaui hukum agama. Ini yang berlaku kepada Abah, seorang saintis yang berjaya robot yang memiliki ciri-ciri manusia. Abah menjadi lupa dataran lantaran menerima pengiktirafan barat. Namun ianya tidak kekal lama, musibah melanda Abah. Dan Syawal kali ini Abah menjadi manusia kembali.

Tuesday, September 18, 2007

Save My Life merupakan lagu yang sedang didengari kawe ketika ini, lagu daripada Xandria. Semalam buat pertama kali dalam bulan Ramadan, bumi Pasir Mas tidak menerima hujan walau setitikpun. Kawe mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan di Pasar Ramadan di Mini Stadium. Jam pada masa itu 5.30 petang dan sang manusia telahpun ramai. Sehingga kawe kadang-kadang sukar untuk meneruskan jalan dan melihat juadah yang terjual. Kawan kawe ‘rekemen’untuk kawe membeli waffle, kawe tergelak sakan kerana tidak pernah mendengar orang makan waffle dalam juadah berbuka. Tetapi ia menarik untuk dicuba dan kawe membelinya. Huhuhu....

Dalam Berita Harian hari ini, pengarah filem prolifik iaitu Kak Yasmin Ahmad merancang untuk memproduksi sebuah filem berkisarkan wanita Kelantan. Setakat ini ada kecenderungan para penggiat filem membuat filem mengenai masyarakat Kelantan. Kawe sungguh teruja dalam hal ini. Selepas filem terbaik Jogho, tidak ada lagi filem yang menayangkan suasana masyarakat Kelantan sama ada di negeri sendiri atau di rantau orang. Afdlin Shauki pernah menyelitkan sedikit babak orang Kelantan yang bercakap ‘english kelate’ dalam karyanya. Tahun lepas ada pembikinan filem yang berkisahkan anak muda Kelantan di Kuala Lumpur yang bertajuk Koya Best. Setakat ini kawe tidak tahu sejauh mana perkembangannya. Selepas itu, bulan lepas di Bachok, Hatta Azad Khan giat mengarahkan Wayang yang mengisahkan kehidupan seorang tok dalang wayang kulit. Untuk karya terbaru Yasmin yang bertajuk Mok Mok, isu yang menjadi tunjang filem itu ialah kisah golongan ibu di Kelantan, yang sememangnya tersohor sebagai peniaga kecil-kecilan. Dalam arahan filem-filem Yasmin, hanya Rabun yang membuatkan kawe terpegun. Buah tangan terakhirnya, Muhsin tidak meninggalkan kesan ketika kawe menontonnya. Hehehe... Ironinya, dalam kerancakan penggiat filem memberi fokus kepada kisah-kisah orang Kelantan, belum terpacak lagi satu panggung wayang di negeri ini setelah terkubur Panggung Lido ketika dahulu. Hmm....

Kawe membaca cerpen Kekasih Sam Po Bo yang dijadikan tajuk buku himpunan cerpen-cerpen Faisal Tehrani. Setelah membacanya baharu kawe faham kenapa ia dijadikan tajuk buku ini. Cerpen ini sungguh menarik dan memperlihatkan ketinggian ilmu yang dimiliki sang pengarang. Sejarah Melaka dan hubungannya dengan kerajaan China dahulu kala, dikarang dengan meletakkan kisah cinta antara perempuan Melaka dan Laksamana dari negara China. Ia diselitkan dengan sejarah perkembangan Islam di China dan Melaka. Sungguh asyik sekali ia dikisahkan.

Monday, September 17, 2007

Sudah 4 hari bumi Pasir Mas dianugerahi dengan hujan mencurah pada waktu petang. Ia menjadi ujian maha hebat buat para peniaga untuk juadah berbuka. Namun seperti yang kawe nyatakan pada entry sebelum ini, suasana di Pasar Ramadan atau di kedai-kedai yang menjual juadah tetap meriah. Dua hari lepas ketika kawe dalam perjalanan balik ke rumah untuk berbuka setelah melawat kawan di Pengkalan Chepa, kawe melewati tempat yang menjual ayam percik tersohor di Kelantan iaitu Yati Ayam Percik, didapati orang ramai telah mengerumuninya. Fuh!

Saat menulis entry ini, media player kawe memutarkan lagu Yang Terbaik Bagimu (Jangan Lupakan Ayah). Ia merupakan lagu Ada Band bersama Gita Gutawa. Gita Gutawa merupakan pelapis terbaik dalam dunia nyanyian di Indonesia. Lagu ini berkisar mengenai impian anak untuk membahagiakan ayahnya. Lirik amat puitis banget! Ini diiringi dengan melodi lagu dan vokal yang indah. Sesungguhnya di tika kawe meniti usia ini, perasaan kasih kepada keluarga terutama buat ayahanda dan bonda semakin mencengkam. Baru-baru ini, bonda ada menyingkap satu kisah setelah melihat kawe begitu asyik membaca dan sanggup berhabis duit untuk membeli bahan bacaan seperti novel. Katanya ketika mengandungkan kawe, dia menyarankan ayahanda supaya rajin membaca. Ayahanda patuh dan senantiasa meluangkan masa dengan membaca. Ada kemungkinan barangkali kenapa kawe begitu mendambakan buku. Huhuhu.....

Imam Muhaimin merupakan cerpen ke 5 yang terdapat dalam Kekasih Sam Po Bo. Kala kawe membacanya membuat kawe teringat kepada novel terhebat Faisal Tehrani iaitu 1515. Ia mengambil sejarah Melaka ditawan Portugis dahulu kala sebagai latar masa. Imam Muhaimin merupakan seorang alim yang masih muda dan setia tinggal di bumi Melaka sedangkan Sultan, para pembesar dan alim ulama telah pun meninggalkan Melaka untuk mendiami kawasan yang lebih semangat. Setiap hari usaha pengembangan agama Kristian giat dilakukan dan akidah orang Melaka semakin goyah kerana cara kekerasan yang dilaksanakan oleh sang Portugis. Utusan Sultan datang menemui Imam Muhaimin setelah mendapat tahu ulama muda itu akan menemui wakil Portugis untuk usaha damai. Orang Melaka yang berada di luar tidak menyenanginya. Mereka tekad akan membuat serangan ke atas Portugis walhal sudah dijelaskan oleh Imam Muhaimin ia akan memburukkan lagi keadaan.

Sunday, September 16, 2007

Berlatar belakangkan lagu The Cry of Silence dari Draconian memberi mood gothic yang meresapi emosi kawe pada ketika ini. Melayan lagu ini mengingatkan kawe kepada inspirasi My Dying Bride. Untuk hari ini, kawe memilih tajuk ringan sahaja iaitu kegilaan kawe kepada sukan popular dunia, bolasepak. Semalam kawe melonjak kegembiraan apabila mengetahui keputusan perlawanan antara Arsenal dan Totenham Hotspurs. Kawe tidak melihat perlawanan itu secara live kerana bersembahyang terawih dan tidak melanggani Astro. Huhuhu. Kawe merupakan peminat sejati Arsenal lega mendapat tahu pasukan kegemaran kawe itu menang dalam London Derby itu. Tanpa Thierry Henry, barisan muda Arsene Wenger tetap mengancam dan membuktikannya dengan menduduki tangga pertama dalam liga. Semoga ia berterusan hingga ke perlawanan ke 38 liga. Hehehe.

Cerpen Opah menjadi bahan bacaan kawe dalam Kekasih Sam Po Bo. Saniah merupakan seorang novelis yang mempunyai dua orang anak yang sibuk dengan halatuju hidup masing-masing. Buat masa ini dia telah bersama dengan anak perempuannya yang belajar di Harvard. Itupun setelah dipujuk oleh anaknya itu. Manakala anak lelakinya begitu sibuk di persada korporat. Di New York, dia bertemu seorang perempuan kulit hitam yang juga kesepian. Mereka berkongsi pengalaman hidup dan pandangan menjadi orang tua.

Cerpen ini agak menarik. Ia memperlihatkan kebijaksanaan Faisal menulis mengenai dunia New York dan kesepian seorang nenek. Ia membuatkan kawe teringat kepada cerpen Faisal yang tersohor iaitu Manisnya Sebiji Epal. Dan The Solitude dari Draconian menutup wadah kawe buat kali ini. Syahdunya.....

Saturday, September 15, 2007

Hari ketiga di bulan Ramadhan. Masa berlalu dengan pantas. Di Pasir Mas, cuaca yang tidak terlalu panas membuatkan orang ramai menjalani ibadah puasa dengan selesa sekali. Malah selama dua hari berturut-turut, hujan lebat mencurah-curah di waktu petang. Sesungguhnya keadaan ini tidak berapa disukai oleh peniaga di bazar Ramadhan kerana ia boleh menyebabkan hasil pendapatan berkurangan. Namun di Pasir Mas, menurut cerita kawan kawe, bazar Ramadan di kawasan Mini Stadium tetap mendapat sambutan hebat walaupun hujan lebat melanda. Keadaan manusia yang penuh sesak di bazar Ramadan memperlihatkan keghairahan manusia untuk memilih juadah makanan untuk berbuka. Kawe belum lagi ‘merasmikan’ langkah kaki untuk menyelusuri Bazar Ramadan. Huhuhu.....

Cerpen ketiga dalam Kekasih Sam Po Bo ialah Bulan Mengambang Di Langit KL. Zamri merupakan pelajar kedoktoran dalam bidang ekonomi telah dipertanggungjawabkan untuk mengambil seorang ahli akademik yang akan menjadi panel satu seminar ekonomi di KLIA. Dr Balthazar berasal dari Gambia merupakan tokoh yang begitu dihormati dalam ekonomi. Berlaku perbincangan menarik antara Dr Balthazar dan Zamri ketika didalam perjalanan ke hotel penginapan ahli akademik itu. Ia berkisar mengenai kenaikan harga minyak yang melampau di Malaysia. Zamri cenderung untuk memihak kepada kerajaan kerana menyakini pihak atasan mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Namun Dr Balthazar mempunyai hujah yang menarik dan berpandukan ilmu agama. Dr Balthazar menghuraikan kenaikan harga tersebut membebankan rakyat dan membelakangkan hak rakyat kerana sumber minyak adalah hak rakyat. Perbincangan lebih lanjut telah membuka minda Zamri dan berfikir panjang di rumah. Ketika seminar ekonomi berlangsung, satu peristiwa bersejarah telah terjadi dan Dr Balthazar meninggalkan bumi Malaysia ketika bulan mengambang di langit KL.

Friday, September 14, 2007

Semalam berbuka puasa bersama bonda tersayang sahaja. Ini kerana ayahanda dan abang berbuka puasa di masjid untuk memenuhi jemputan Tuk Imam. Keletihan berpuasa tidak ketara sangat kerana kawe kuat tidur pada hari pertama bulan Ramadan. Huhuhu. Selepas terawih, kawe keluar untuk bertemu dengan kawan-kawan. Kemudian kami lepak di kedai makan untuk berbual mengenai apa jua tajuk. Hahaha. Ketika kawe mencari kedai yang menjual topup, kawe melihat kedai makan yang menyediakan colek dipenuhi sang manusia. Memang ramai manusia dan ini menunjukkan colek kekal diingati dan diminati oleh orang Kelantan. Ini hanya di Pasir Mas, kalau di tempat lain seperti Kota Bharu, Pengkalan Chepa atau Kubang Kerian pasti lebih meriah dengan kegilaan orang Kelantan terhadap colek. Dan semalam kawe telah memilih ‘colek perut’ setelah mendapati ‘colek malah’ sudah habis dipasaran. Hahaha....

Cerpen kedua hari ini dalam buku Kekasih Sam Po Bo ialah Cahaya Pada Jiwa. Ia mengisahkan Alif seorang pegawai di jabatan kerajaan sedang diuji dengan pelbagai ujian dalam hidup. Mempunyai seorang isteri yang tabah bersama 3 orang anak yang menghidapi penyakit misteri. Pelbagai ikhtiat telah dilakukan namun nasib anak kecilnya itu tidak berubah jua. Tambahan lagi, Alif dicengkam masalah kewangan dan pendapatan sebagai pegawai kerajaan tidak mencukupi untuk kehidupannya. Namun Alif seorang mempunyai pendidikan agama sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam. Kemuncaknya, dia didatangi oleh seorang kaya yang ingin mendapatkan tender di bandar. Dia telah memberi suapan kepada Alif untuk membolehkan dia mendapatkan tender ini. Alif semakin keliru dan membiarkan dirinya kembali mengingati peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam hidupnya. Dia hampir tewas dengan permainan syaitan namun berpatah balik kerana disebabkan sesuatu perkara yang menggamitnya. Setelah itu, sinar terpancar dalam hidupnya sekeluarga.

Thursday, September 13, 2007

Sudah berkurun lamanya kawe tidak mengasah minda dengan menulis di dalam blog. Dulu dihambat dengan kesibukan belajar dan dihimpit dengan perkara-perkara yang membuaikan sehingga tiada masa untuk memecah kebuntuan di dalam blog.

Namun kini, setelah berjaya mendapatkan apa yang diperjuangkan selama 5 tahun sudah, kawe mula berfikir untuk mempertajamkan buah fikiran kawe dalam blog yang usang ini. Huhuhu... Dan kawe memilih bulan mulia iaitu Ramadan yang dirindui untuk memulakan langkah baru. Saat ini berlatarkan lagu berhantu Ibnor Riza iaitu Mimpi Yang Tak Sudah memberi satu perasaan yang tenang untuk menulis. Dalam playlist, kawe pilihkan lagu-lagu pop melayu zaman 80’an. Ini disebabkan muzik pada zaman itu sungguh indah dan melankolik. Walaupun kawe merupakan pendengar muzik metal yang tegar tetapi kawe tetap menghargai karya-karya muzik yang boleh membangkitkan seribu emosi tatkala mendengarnya. Sudah tentu nasyid turut menjadi santapan halwa telinga kawe. Hehehe...

Sebelum Ramadan tiba, kawe berasa amat gembira sekali kerana dapat berpuasa di kampung bersama keluarga tercinta. Rindu dendam. Itu ungkapan terbaik yang dapat menggambarkan betapa perasaan kawe ketika ini. Selama 5 tahun kawe menikmati puasa di tempat orang. Pelbagai kenangan yang hadir menjadi buku pengalaman berharga kawe. Saat ini merupakan masa terbaik untuk kawe menikmati bulan Ramadan disamping keluarga tercinta dengan lebih bermakna. Dan yang penting dapat terawih dengan sempurna, insya Allah. Huhuhu...

Malam tadi agak susah untuk kawe tidur awal. Ini kerana kawe sudah terbiasa tidur agak lewat. Puas cuba memaksa diri untuk tidur namun ianya sia-sia. Hihihi... Dan kawe larut entah pukul berapa semalam. Sedar-sedar ayahanda datang kejutkan anak bertuah ini untuk bersahur. Huhuhu... Kalau di zaman berkelana mencari ilmu, kawe rela membiarkan diri bertahan sampai tiba waktu makan sebelum imsak menjelang. Menyibukkan diri dengan melayari internet, melayan movie atau berbual-bual kosong dengan teman serumah. Itupun kalau tiada kelas di awal pagi. Hehehe... Oppss.. tadi sahur, bonda memasak gulai ketam. Full stop. Semasa di bumi orang, pecut motosikal bertemankan embun pagi bersama kawan serumah ke kedai makan yang menyediakan makan sahur. Kalau malas nak keluar, layan gardenia pun jalan juga. Huhuhu...

Lepas makan sahur tadi, terus tonton tv untuk tunggu masa berlalu. Kemudian terpaku melihat program Majalah Tiga yang memaparkan episod Cina Kampung Kelantan. Menarik dan kawe memang suka menumpukan perhatian terhadap ilmu visual sebegini. Melihatkan orang cina bertutur dialek kelate membuatkan kawe berasa bangga dengan keadaan ini. Dulu ketika tinggal di negeri orang, kawe mual melihat orang Malaysia tidak boleh bertutur bahasa Melayu/Malaysia dengan lancar. Hehe... Nasib baik member-member sepengajian kawe yang berbangsa selain dari Melayu boleh bertutur dengan baik seperti Chandra, Pau Kee dan lain-lain.

Ketika sembahyang Subuh di masjid tadi, kawe bertemu dengan Pak Ya. Lama sungguh tidak bertemu dan berborak dengannya. Selepas membaca Al-Quran dan mendengar terjemahannya dari Ustaz, kawe pergi mendapatkan Pak Ya, dia beritahu sudah lama dia tidak hadir ke masjid disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Kawe tahu dia baru sahaja balik dari KL menjalani rawatan merawat matanya. Kawe tengok dia agak uzur. Semoga dia cepat sembuh.....

Selepas balik dari masjid tadi, kawe telah mengulangi membaca buku himpunan cerpen nukilan Faisal Tehrani bertajuk Kekasih Sam Po Bo. Ini merupakan buku yang terbaru dibeli oleh kawe. Kawe memang meminati karya dia. Bahasa didalam karyanya diolah dengan cantik. Kawe tidak menghiraukan polemik yang timbul kesan lahirnya karya-karya dia. Kawe lebih mementingkan santai dan memberi rangsangan kepada minda. Ada 30 cerpen terpilih dan kawe akan membaca satu cerpen untuk satu hari di bulan Ramadan, insya Allah.

Sinopsis ringkas cerpen pertama iaitu Irisan-irisan Mimpi mengisahkan seorang anak bernama Satiyah sedang dalam perjalanan mencari cinta sejati arwah ayahnya di Sarawak. Dia dapat menghidu ayahnya mempunyai sang kekasih yang sejati. Mempunyai perasaan kasih yang tinggi terhadap arwah ayah dan ibunya, dia yang kebetulan dipertanggungjawabkan untuk berkhidmat di Sarawak sebagai pendidik telah merungkai rahsia cinta agung setelah dipertemukan dengan seorang wanita tua yang hidup sebatang kara. Lebih mengagumkan dia dan wanita itu mempunyai nama yang sama. Akhirnya segalanya terjawab dengan wanita itu merupaka kekasih hati ayahnya dahulu. Terpisah kerana peristiwa yang menyedihkan. Satiyah turut menemui cintanya di Sarawak telah membawa sama wanita itu untuk tinggal bersamanya. Bersama suami tercinta, Satiyah telah membawa wanita itu pulang ke semenanjung untuk menyambut Aidilfitri dan melawat kubur ayahnya dan kekasih hati wanita itu. Setelah beberapa hari berada di kampung Satiyah, wanita itu menghembuskan nafas terakhir dan dikebumikan di sisi kubur ayahnya atas permintaan Satiyah.

Ada ayat yang indah untuk ditatap terdapat di dalam cerpen ini iaitu;

‘Siapa kata bagi seorang lelaki cinta hanyalah suatu peristiwa? Bagi abah cinta adalah emosi’

Setiap kali membaca cerpen ini, jiwa kawe terkesan dengan jalan ceritanya. Ia melahirkan sebak apabila membaca cerpen sedih ini. Ini membuatkan kawe kagum dengan saudara Faisal Tehrani. Buku ini merupakan koleksi berharga. Nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan buku ini di pasaran. Ianya berbaloi.